PUTRAJAYA 14 Okt. – Kerajaan menurunkan lagi harga bahan api sebanyak 15 sen bagi petrol dan 20 sen bagi diesel, iaitu penurunan kali ketiga dalam tempoh tidak sampai tiga bulan.
Dengan penurunan harga minyak hari ini, bermakna dalam tempoh tidak sampai tiga bulan kerajaan telah menurunkan harga petrol sebanyak 40 sen seliter berbanding harga RM2.70 seliter pada Jun lalu.
Dalam tempoh yang sama, harga diesel pula telah mengalami penurunan 38 sen berbanding RM2.58 sen seliter ketika harga minyak dinaikkan Jun lalu.
Dalam satu langkah untuk mengurangkan beban rakyat dan menyelaraskan harga bahan api di Malaysia dengan penurunan harga minyak di pasaran dunia, kerajaan mengumumkan harga baru petrol dan diesel itu akan berkuat kuasa esok.
Perdana Menteri, Datuk Seri Abdullah Ahmad Badawi dalam satu kenyataan berkata, mulai esok harga runcit petrol RON97 dikurangkan 15 sen iaitu daripada RM2.45 seliter kepada RM2.30 seliter.
Harga diesel diturunkan sebanyak 20 sen seliter daripada RM2.40 seliter kepada RM2.20 seliter manakala pada masa sama, harga petrol RON92 pula dikurangkan sebanyak 10 sen seliter daripada RM2.30 seliter kepada RM2.20 seliter.
Abdullah berkata, kerajaan membuat keputusan mempercepatkan pengurangan harga runcit bahan api berikutan harga minyak dunia telah menurun dengan ketara akhir-akhir ini.
“Penurunan itu juga bagi membolehkan orang ramai menikmatinya dengan lebih segera,'' kata Perdana Menteri dalam satu kenyataan di sini hari ini.
Harga minyak di pasaran dunia kini berlegar sekitar AS$77 dan AS$80 setong berbanding hampir AS$140 setong pada Mei lalu.
Perdana Menteri berkata, harga baru petrol dan diesel itu merupakan pelarasan harga ketiga dilakukan sejak kerajaan menaikkan harga minyak buat pertama kalinya pada pertengahan tahun ini.
Ketika itu harga petrol ditetapkan pada RM2.70 seliter manakala diesel RM2.58 seliter.
Selari dengan penurunan harga minyak mentah dunia, kerajaan membuat pelarasan pertama pada 23 Ogos lalu menyaksikan pengurangan harga sebanyak 15 sen daripada RM2.70 seliter kepada RM2.55.
Bulan lalu, kerajaan menurunkan lagi harga petrol sebanyak 10 sen menjadikan harga runcit petrol RM2.45.
Menteri Perdagangan Dalam Negeri dan Hal Ehwal Pengguna, Datuk Shahrir Samad baru- baru ini berkata, kerajaan mungkin dapat menurunkan harga petrol ke paras RM1.92 seliter jika harga minyak di pasaran dunia jatuh di bawah paras AS$72 setong.
No comments:
Post a Comment